Tuesday, June 1, 2010

Meninggal selepas 3 hari

KLANG: Pelatih Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, sejak Jumaat lalu, meninggal dunia kira-kira 6.40 pagi semalam.Punca kematian Norhashimah Wahid, 31, dikatakan akibat radang paru-paru dan kegagalan organ lain berfungsi. Suami mangsa, Ahmad Zulkhairi Zainal Abidin, 31, ketika ditemui di bilik mayat HTAR, reda dengan kematian isterinya tetapi enggan ditemuramah lanjut kerana sedih dengan apa yang berlaku. “Jenazah akan dibawa ke Taman Dato’ Keramat untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan. Sejak isteri dimasukkan ke hospital, saya belum dapat melelapkan mata dan berharap anda faham keadaan saya,” katanya. Beliau kelihatan sebak dan sesekali mengesat air mata sambil mendukung anak perempuannya, Nur Hylda Daenia, dua tahun. Kakak mangsa, Norlina Wahid, 36, berkata kali terakhir dia bertemu dengan adiknya kira-kira dua minggu lalu ketika menghadiri majlis sambutan hari lahir Nur Hylda, di rumah seorang ahli keluarganya. “Kali terakhir saya bercakap dengannya ialah ketika dia mahu mengikuti latihan ini kira-kira seminggu lalu melalui telefon.
“Dia beritahu, ketika mengikuti kursus, telefon tidak dibenarkan dibawa. Itulah kali terakhir saya berjumpa dengannya. Perbualan kami biasa saja dan dia tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik,” katanya. Keluarga mangsa juga bercadang membuat laporan polis berhubung kejadian itu selain mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terbabit.
Sementara itu, ibu mentua mangsa, Zainon Hassan Jaffri, 58, berkata kehilangan mangsa sukar dicari ganti selain agak terkilan kerana lewat dimaklumkan pihak pengurusan berhubung apa yang berlaku ke atas menantu sulungnya. “Saya tahu perkara ini pagi Jumaat lalu. Ketika itu, saya dan Ahmad Zulkhairi bersarapan di rumah saya di Taman Mas, Batu 9, Cheras. “Itupun pihak Hospital Banting yang hubungi Ahmad Zulkhairi memaklumkan keadaan isterinya. Apa yang saya tahu daripada beberapa rakan dia (Norshasimah), dirinya sudah lama demam,” katanya kesal dengan pihak yang berwajib seolah-olah lepas tangan berhubung perkara itu. Zainon berkata, kediaman anaknya di Taman Tun Hussein Onn, Cheras, dengan rumahnya agak dekat malah pasangan itu akan meninggalkan cucu bersamanya atau di rumah keluarga Norhashimah di Taman Dato’ Keramat untuk dijaga bergilir-gilir. “Perkataan selalu diucapkan sama ada ketika datang atau ambil anak dia ialah: Terima kasih kerana jaga anak dia. Perkataan itu selalu dia ucap berulang kali.
“Dia juga jenis periang dan aktif dan saya masih terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya menambah arwah sebelum ini bekerja bank dan dia sekeluarga mencadangkan supaya memasuki kerajaan dengan menjadi pegawai PTD. Akhbar semalam melaporkan, seorang pelatih wanita Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) tidak sedarkan diri selepas mengikuti latihan di Jugra Banting dipercayai mengalami jangkitan paru-paru yang serius. Mangsa, Norhashimah Wahid, 31, yang mengikuti latihan ‘Modul Jati Diri’ di Jugra, Banting, Ahad lalu dan dia baru seminggu mengikuti kursus itu di Banting. Dia perlu mengikuti kursus latihan selama tujuh bulan sebelum disahkan jawatan dan sudah menamatkan tiga bulan secara berperingkat.


p/s: Bersediakah aku jadi PTD? Btw, Al-Fatihah buat Allahyarhammah Norhashimah Wahid

No comments: